Greetings From Vice Chancellor

Featured

Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera

Selamat Datang ke UKM. Saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan para pelajar melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saudara-saudari kini menjadi warga baru universiti yang menjadi tonggak kebanggaan rakyat dan negara.

Kejayaan melanjutkan pengajian di UKM adalah satu peluang yang perlu dimanfaatkan sebaiknya. Proses pembelajaran di universiti menyediakan pelbagai peluang dalam suasana yang kondusif untuk para pelajar mencungkil potensi diri bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah. Sekarang terpulang kepada para pelajar untuk terus memajukan diri dan menjadi modal insan yang boleh menyumbang kepada kemajuan bangsa, agama dan negara.

Sebagai sebuah universiti penyelidikan, UKM sentiasa menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif dan inovatif untuk menjana para pelajar yang cemerlang. Walaupun berada di peringkat prasiswazah peranan dan sumbangan saudara saudari tetap penting dalam menjayakan agenda universiti untuk menjadi universiti terkehadapan dunia menjelang tahun 2018. Segala perancangan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM perlu difahami dengan penghayatan yang jitu agar para pelajar sentiasa berada di landasan yang betul. Justeru, sepanjang tempoh pembelajaran, keterlibatan para pelajar dalam mendukung visi dan misi universiti akan dibimbing oleh para akademik dan ilmuwan UKM yang tersohor di dalam negara dan juga di dunia.

Saya berharap para pelajar dapat mempelbagaikan kemahiran dengan menyertai aktiviti akademik dan kokurikulum sama ada di peringkat fakulti, kolej kediaman dan persatuan pelajar. Berikanlah sumbangan yang bermakna kepada UKM untuk menjadi universiti kebangsaan terulung dan terjulang di persada dunia serta tidak melupakan tanggungjawab membangunkan masyarakat dan negara.

Sekian.